TAMAN SUCI SEROJA MERAH

TAMAN SUCI SEROJA MERAH
TAMAN SUCI SEROJA MERAH 1147

Sunday 21 August 2011

Gerak? Apa yang dimaksudkannya?

Gerak dalam ilmu kebatinan diertikan sebagai gerak yang hadir dengan sendiri tanpa ada perbuatan daripada diri sendiri. Pangamalnya tidak perlu mengagak kemana atau bagaimana gerakan yang akan dilakukan. Tetapi tidak bermaksud pengamal tersebut didalam keadaan tidak sedarkan diri atau seperti orang yang menurun, pengamal masih dalam keadaan sedar, waras dan mampu mengawal pergerakan tersebut. Apabila telah biasa dengan gerak tersebut secara tidak langsung pengamal akan mengingati setiap langkah atau perbuatan gerak tersebut. Ia juga dikenali dengan pelbagai nama antaranya; gerak rohani, gerak ghaib, gerak suci, gerak kursani dan sebagainya.

Gerak biasanya dibukakan atau dijazahkan untuk tujuan persilatan, perubatan, kasyaf dan pertahanan diri. Cara pengijazahannya pula terpulang kepada perguruan masing-masing kerana kaedah yang digunakan mungkin berbeza namun keberhasilannya sama cuma kekuatan atau tenaga gerak itu sahaja yang membezakannya.

Antara cara-cara pengijazahan yang diketahui adalah seperti, dengan meminum air hidup (air putih yg tidak dimasak,air mineral sebagai contoh), melalui rusuk belakang, melalui tepukan atau melalui aura jarak jauh. Antara alatan yang biasa digunakan adalah seperti; air mineral, kain putih (ukurannya sekitar 3meter), selendang dan sebagainya. Ada juga diantara perguruan yang melakukan pengijazahan atau pembukaan gerak dengan menaikkan besi kursani dari belakang badan. Pengijazahan itu pula dilakukan oleh guru, wakil habib (wakil guru/orang yang dipertangjawabkan) dan mereka yang mempunyai kebolehan pengijazahan. 

Pantang larangnya pula adalah berdasarkan peraturan yang ditetapkan oleh perguruan masing-masing. Namun kebanyakkannya tiada pantang larang cuma menekankan tentang melakukan apa yang disuruh dan tinggalkan apa yang ditegah oleh Agama. Sesetangahnya pula menetapkan pantang larang seperti larangan memakan apa sahaja jenis jantung (pisang, ayam, lembu dll) untuk tempoh-tempoh tertentu.

Seperti kebanyakan ilmu kebatinan yang lain, gerak juga akan disertai dengan amalan-amalan tertentu sesuai dengan perguruan masing-masing. Amalan seperti zikir, cuca dan doa-doa tertentu. Berkemungkinan juga ada penggunaan mantera dan penyeruan bagi sesetengah perguruan.Amalan tersebut dilakukan untuk waktu-waktu tertentu contohnya ketika lepas solat (ada yang bertempoh contohnya 40hari dan ada juga yang tidak bertempoh), ada juga amalan sebelum keluar rumah, pendinding dan pastinya bertempur.

Apa yang gerak boleh lakukan? Disini diambil contoh dari persilatan. Sekirannya seorang pesilat itu dibukakan gerak, maka pesilat itu mampu untuk bersilat dan melakukan gerakan seperti buah pukul, bunga tari dan serangan serta tepisan. Sesetengahnya juga mampu untuk melakukan jurus atau pukulan jarak jauh iaitu tanpa menyentuh tubuh badan musuh. Jika disertai dengan ayat permintaan atau penyeruan atau permohonan (mana-mana istilah memberi makna tujuan yang hampir sama), pesilat mampu untuk bergerak mengikut gerak langkah yang dikehendaki. Sebagai contoh, antara doa atau ayat yang biasa digunakan adalah seperti "Ya Allah, kurniakanlah aku gerak langkah pahlawan panglima hitam dan lindungilah aku daripada sebarang kemudaratan". Maka dengan izin Allah, mampulah pesilat tersebut bergerak dengan langkah yang diminta. Adakah langkahnya 100% sama? susah untuk dibuktikan kerana belum ada perbandingan secara ilmiah.

Ada juga gerak, yang digelar ibu gerak atau gerak rohani yang mana pengijazahannya biasanya dilakukan tanpa sebarang tujuan tertentu. Maksudnya, gerak tersebut dibuka tanpa sebab-sebab tertentu. Seperti yang dikatakan tadi, untuk pesilat maka geraknya juga untuk bersilat. Tetapi untuk gerak jenis ini, pengamalnya dibukakan gerak secara total. Kebolehan pengamal tersebut bermain gerak bergantung kepada kebolehan, kemahuan dan apa juga yang diizinkan oleh Allah. Sekiranya diizinkan Allah pengamal tersebut untuk menjadi ahli perubatan, maka geraknya juga adalah untuk tujuan perubatan. Biasanya pengamal tersebut kurang menggunakan ayat-ayat atau doa-doa hanya bergantung kepada niat, doa dan zikir tertentu yang diajar oleh gurunya. Kebiasaannya pengamal gerak bagi tujuan perubatan kurang menggunakan gerakan kaki ianya lebih kepada gerakan tangan. Ada juga yang mampu menghasilkan aura atau tenaga dalaman.

Adakah gerak ini bercanggah dengan hukum syara'? persoalan tersebut perlulah diajukan kepada mereka yang arif. Keterangan yang diberikan ini hanyalah untuk tujuan perkongsian, sebarang komen dan pertanyaan adalah dialu-alukan.

Wallahualambissawab.

No comments:

Post a Comment